Friday, October 2, 2009

TSUNAMI OCT,2009

Tangisan Padang: 770 Maut; 294 Parah; 500 Bangunan runtuh


PASUKAN penyelamat mencari mangsa di celah runtuhan.



Gegaran susulan kejutkan Jambi; Sumatera diisytihar darurat

PADANG: Ketika keadaan di Sumatera Barat masih kelam kabut berikutan gempa bumi kelmarin yang setakat ini mengorbankan 770 orang, manakala 294 mangsa cedera, Indonesia dikejutkan dengan satu lagi gegaran di kawasan Jambi di selatan bandar ini, pagi semalam.

Setakat ini, tiada laporan mengenai kematian akibat gegaran susulan berukuran 6.6 skala Richter pada jam 9.53 pagi itu yang turut dirasai di beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia, termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.



Dalam kejadian gempa bumi berukuran 7.6 Richter di Sumatera Barat pada jam 5:15 waktu tempatan kelmarin, beribu-ribu orang dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan dengan beberapa mangsa yang masih hidup berjaya dikeluarkan pasukan penyelamat, semalam.

Lebih 500 bangunan termasuk beberapa hotel, sekolah, hospital dan gedung beli belah dilaporkan musnah atau mengalami kerosakan teruk dalam kejadian itu.

Hotel Bumi Minang, satu daripada hotel kegemaran rakyat Malaysia yang melancong ke Kota Padang atau menziarahi saudara mara di sana, juga dilaporkan runtuh dengan sejumlah orang dikatakan masih terperangkap, tetapi Kedutaan Malaysia di Jakarta mengesahkan semua 330 pelajar Malaysia di Padang selamat dan tiada laporan rakyat Malaysia terkorban.

No comments:

Post a Comment